Wednesday, May 28, 2008

Terbalik

Topsy turvy. Pulang ke rumah emak semalam, ini saja perkataan yang melintas dalam kepala saya. Namun, lantaran letih, sampai sahaja ke rumah saya terus tergolek di dalam bilik hanya bangun untuk solat bukan di awal waktu.
Pukul 4 saya memberitahu kakak supaya jangan pulang dulu, keadaan rumah tidak mengizinkan. Kalau pulang juga bakal sakit kepala. Kakak saya akur, jadi saya pun memulakan tugas, menvakum, menyapu, mengemop dan bermacam-macam 'me..' lagi.
Phew~~ saya terkenangkan Akamaru yang tidak nampak kelibat di mana-mana. Agaknya sekarang Akamaru adalah 'hot babe' di sekitar kawasan ini, jadi dia memang susah hendak pulang ke rumah kerana melayani peminat.
Menjelang pukul 6 lebih, barulah selesai kerja mengemas. Penatnya Tuhan saja yang tahu. Kakak muncul dengan 'askar2' menjelang Isyak, berbual-bual kemudian masing-masing masuk tidur. Cukup cerita untuk satu hari. Simple saja, kan?

Monday, May 26, 2008

lama

Cuti masih panjang. Saya sebenarnya belum ada rancangan yang betul2 tuntas bagaimana untuk menghabiskan cuti. Cuma yang ada dalam kepala mahu bercuti, ya, saya keletihan sebenarnya. Kerja dan hidup baru saya menuntut komitmen yang bukan sedikit.
Semalam saya keluar lagi, kali ini mahu membeli hadiah. Adik sudah menyambut harijadinya beberapa minggu lepas tetapi saya sendiri belum berpeluang bertemu dengannya. Hanya bergreeting melalui mesej. Saya juga berhajat mencari buku2 baru tetapi saya lupakan sahaja mengenangkan saya malas membaca karya popular buat masa ini. Tidak ada selera dan kemahuan.
Terbaru, saya lebih berminat mencari bahan2 yang lebih ilmiah, yang bagi saya pengisiannya lebih padat dan memuaskan sel2 kelabu dalam kepala saya ini. Sejak bekerja jarang sekali saya meluangkan masa untuk buku2 seperti itu, kadang2 membuatkan saya merasa ketinggalan. Saya belum dapat meniru kebiasaan arwah ayah yang sentiasa membeli, membaca dan menelaah buku2 baru dari minggu ke minggu.
Sepanjang ingatan saya pada arwah, jarang sekali dia meninggalkan pembacaan pada waktu pagi. Ya, dari satu sudut, kuliah2 menuntutnya sentiasa menambah ilmu supaya compatible dengan situasi semasa tetapi kerajinan seperti itu bagi saya, masih belum saya dapati daripada orang lain yang melakukan hal yang sama.
Arwah seorang yang sentiasa mencari ilmu, tidak pernah merasa rendah diri belajar daripada orang yang jauh lebih muda daripadanya, satu sikap yang saya sangat kagumi dari dulu. Barangkali sikap happy-go-lucky nya itu, selalu menolongnya untuk mingle among the people nicely, tidak kira muda atau tua.
Menjelang dewasa, melalui turbulent age :) saya berminat dengan karya-karya underground dan apa2 yang berbentuk satira. Bagi saya, sastera yang baik ialah sastera yang menceritakan dan menerangkan untuk kebaikan. Barangkali yang diterangkan bernada kasar dan jelek tetapi bagi saya menggambarkan sesuatu realiti itu tidak semestinya perlu berbahasa indah sahaja. Realiti tidak terhad kepada keindahan, kejelekan juga realiti. Kejelekan itu tidak akan hilang dengan menafikan kewujudannya yang sudah ada di depan mata. Mahu tidak mahu kita harus menerima dalam bentuk menginsafi dan kalau lebih berani mencuba merobah.
Bila disebut merobah, ramai yang lebih suka beralasan walaupun sebenarnya perubahan adalah tulang belakang kehidupan. (Bukan melabel orang sekeliling, ini lebih bersifat pengalaman peribadi) We resist it, in most cases, almost without rational reasons and our responses are always hypercritical and defensive. Pendapat anda bagaimana?
Saya sedang melayani M.Nasir, bukan kerana ramai pengagum muzik menganggap muziknya lebih bernada kesufian (saya tidak setuju dengan lirik 'Kias Fansuri'. Zulaikha yang cuba berzina dengan Yusuf A.S itu perbuatannya tetap berdosa. Kenapa mahu mengangkat pula perbuatan seperti itu?) tetapi saya sukakan alunan hasil kerja M.Nasir. Barangkali ini kenyataan paradoksikal tetapi bagi saya ini sekadar minat saya sebagai manusia kepada muzik.
Kepada yang pernah singgah di sini, terima kasih kerana membaca. Ah, perlu anda ketahui, apa-apa yang disiar di sini cuma pendapat peribadi, mengenangkan saya punya hak untuk bersuara di dalam sebuah negara demokrasi, dan ya, yang lebih penting, tidak melanggar Syariat. Saya sedang senyum dan mahu tersenyum sepanjang hari.

Saturday, May 24, 2008

letih

Selamat pengantin baru buat Rayahin & Mazwan. Semoga dirahmati Allah selalu.

Friday, May 23, 2008

sedikit

Saya mahu melihat pantai, awan dan langit.
Rasanya memang sudah terlalu lama saya tidak bercuti kerana setiap kali saya sepatutnya bercuti, saya tidak pula bercuti. Tanggungjawab menuntut saya 'bekerja' untuk yang tersayang. Tidak, saya tidak merungut apatah lagi untuk menyatakan rasa tidak puas hati. Semuanya saya terima dengan rela hati kerana 'bekerja' untuk yang tersayang itu adalah satu pengalaman yang berharga buat saya.
Dalam seminggu ini, kakak saya sudah beberapa kali menelefon, mohon diberitahu kapan saya mahu pulang ke kampung. Mahu berkumpul adik-beradik, kalau tidak rumah arwah mak memang akan terlalu sunyi. Saya bercadang mahu buat majlis makan2 sesama kami. Sudah lama kami tidak berkumpul dan makan2 bersama. Komitmen menghalang kami berkumpul selalu.
Walaupun kampung saya bukanlah sejauh mana daripada daerah tempat saya bekerja tetapi pulang ke kampung juga mengambil masa yang lama. Silap2 haribulan saya boleh lembik sebelum sampai ke rumah lagi. Lembik itulah yang selalu buat saya berfikir 7-8 kali mahu pulang. Kalau asyik tertidur di rumah pun tak ada gunanya, tujuan saya pulang hendak bermesra dengan ahli keluarga yang semakin sedikit ni tidak tercapai.
Malam ini, bakal jadi malam bersejarah saya memecah tradisi keluarga menjadi bridesmaid. Saya SANGAT SEGAN! Selalunya dalam apa2 majlis perkahwinan pun saya jarang duduk di hadapan. Semasa kakak saya berkahwin, saya cuma boleh serta makan2 bersama pengantin, pastu cabut basuh pinggan. Lebih rela begitu. I never liked the lens flares. Owh, please!

Tuesday, May 20, 2008

Malu

Kes 1
Seminggu dua ini saya sudah puas mencari kedai gunting rambut yang boleh memotong rambut saya tanpa ragu-ragu. Malangnya saya tidak berjumpa satu pun yang berkenan di hati, sementelahan di sini rata-ratanya adalah salon uniseks.
Sepanjang dua tiga tahun bekerja ini, belum cukup lima jari bilangannya saya bergunting rambut. Semuanya gara-gara kedai gunting rambut uniseks. Pernah saya cuba juga bergunting kerana terlalu terdesak di kedai-kedai rambut berkenaan tetapi sesudah dua tiga kali juga saya terpaksa terserempak dengan lelaki yang menggagahkan kaki memasuki kedai gunting tersebut saya menjadi serik.
Sungguh tidak aman dan ya, saya rasa sangat berdosa. Terkemudian, saya cuba menggagahi langkah memasuki sebuah salon milik seorang perempuan cina, dengan harapan ada hairdressernya yang berbangsa Melayu dan salon bertirai. Namun, selepas keluar dari salon tersebut saya berasa sungguh kecewa dan marah.
Kecewa kerana saya terpaksa membatalkan niat untuk menggunting rambut yang merimaskan dan kedua kerana rasa terhina dengan perkataan perempuan Cina itu yang seakan menghina pegangan saya.
Semasa saya melangkah masuk ke kedai tersebut, saya dapati ada ruang yang bertirai 'khusus untuk wanita bertudung'. Malangnya, tirai yang dipasang sangat jarang. Saya cuma menggeleng kepala apabila tauke dengan penuh hati 'mempromo' ruang bertabir itu, tetapi senyuman saya mati apa dia mula melabel saya closed minded kerana mengambil kira soal tabir yang jarang itu.
Tidak perlu saya panjangkan cerita kerana saya keluar dengan perkataan yang bisa selepas itu.
Kes 2
Salah seorang kawan saya mengadu terperanjat dan sakit jantung apabila salah seorang chatter yang dikenalinya menunjukkan gambar yang tidak sopan kepadanya. Kawan saya seorang perempuan berhemah, dan sama sekali tidak menyangka chatter kenalannya itu, yang juga seorang perempuan sanggup mendedahkan bahagian tubuhnya tanpa segan silu. Ya, dia perempuan, tetapi tidak bermakna dia harus mengabaikan aurat sesama perempuan, protes kawan saya yang seorang ini.
Dua kes di atas, adalah dua kes aurat yang selalu membawa masalah. Bagi saya, memang masyarakat kita ini sakit, bila perkara sepenting ini dengan mudahnya diabaikan. Soal aurat ini, soal besar. Soal neraka dan syurga. Tidak mempedulikan hal sebesar ini, menunjukkan kita sebenarnya belum lagi mencintai agama yang kita anuti. Malah pada satu tahap belum lagi memahami kehendak dalam beragama.
Cik kak2, aurat apabila bertemu sesama jenis pun perlu dijaga. Tanyalah pada yang tahu. Jangan tanya pada Cina atau apa-apa bangsa kafir tentang aurat kerana mereka tidak pernah ambil tahu. Jangan suka-suka mengikut perilaku mereka kerana tatacara hidup kita tidak akan pernah sama dengan mereka. Kalau mereka suka-suka membuka salon uniseks, biarkan. Janganlah cik kak2 yang hidung penyek dan mengaku beragama Islam mahu membuka salon uniseks juga. Jangan mengundang bahaya dan dosa pada diri sendiri. Kalau tidak, jangan pula mengeluh nanti, ada buaya yang minta diurut dengan lagak seorang bini.

Saturday, May 17, 2008

senyum

Lupakan. Lupa itu juga nikmat Tuhan. Ada ruangnya ia berfungsi dengan begitu hebat, maka kau boleh tersenyum kembali. Dan hidup juga menjadi lebih tenang, dan kau boleh menyambut kembali mentari, bayu dan embun dengan rasa syukur yang tidak sedikit.
Perlu kau ingat dunia ini berputar setiap detik membawa pelbagai perkara baru ke ribaanmu. Kerana masa tu sendiri makhluk Tuhan, maka baru itu sendiri adalah sifatnya. Kecewa bertali itu jangan dilayani, hanya menyesakkan nafas, menyempitkan dada dan menerajang jauh ketenangan yang kau isi di dalam hati. Rasa bersalah perlu tetapi perkara yang berlalu bukan lagi di dalam genggaman sesiapa.
Perlu kau tahu, hari ini masih dalam genggaman. Ribuan minit itu sendiri dijadikan Tuhan untuk membawa maksud berusaha membuat yang terbaik. Biarkan ia berlalu tanpa kebaikan, sia-sialah minit yang tidak kembali itu, jauh tidak tergapai lagi.

Friday, May 16, 2008

ubah

Melangkah ke satu stage yang baru dalam hidup ada banyak komplikasinya. Dalam banyak perkara, tidak ramai yang boleh menangani perubahan dengan baik. Akan tetapi, perubahan adalah peraturan dunia. Tiada yang kekal selagi dinamakan makhluk.
Sahabat saya cuba melangkah ke satu situasi baru tetapi ragu-ragu di dalam hatinya sangat besar. Maka dia menangguhkan banyak keputusan penting dari satu masa ke semasa samada dia sedari atau tidak. Hidupnya menjadi begitu stagnant sehingga dia sendiri akhirnya menjadi bosan dengannya. Walau bagaimanapun, setiap kali dia berada di persimpangan untuk meneruskan perjalanan ke satu peringkat yang lain, dia sering teragak-agak.
Dia, bagi saya, adalah manusia yang gerun dengan suasana tidak pasti dan bimbang perubahan yang bakal ditemuinya tidak mendatangkan kebaikan kepada dirinya. Namun, dari semasa ke semasa, dia tahu dia perlu menangani hal tersebut. Atau dia akan menjadi kesuntukan masa. Dan di akhir kesuntukan masa itu hanya ada penyesalan yang tidak berkesudahan.
Ini kisah yang biasa didengar. Saya yakin anda sendiri pernah mendengarnya daripada orang lain atau pernah mengalami sendiri. Hal sebegini sebenarnya, tidak mudah diselesaikan melainkan dengan keyakinan yang teguh kepada rahmat Tuhan yang Maha Esa. Kita barangkali boleh meneka-neka, menimbang sesuatu perkara dari satu stand point masa yang cukup jauh, tetapi keputusan bagi setiap perkara masih lagi bukan di tangan kita. Berdoalah. Kita digalakkan melakukannya. Adakah anda ingat lagi perihal tentang pentingnya berdoa? Saya sedang bermuhasabah :) entry kali ini adalah untuk menyedarkan diri sendiri.

Hari Hadiah




Saya tidak perlukan semua ini. Cukuplah hadiah saya dengan kejayaan kalian. Walau bagaimanapun, terima kasih banyak2. Kepada semua guru-guru saya, Selamat Hari Guru. Jasa kalian akan saya kenang sampai bila-bila. Satu senyum buat semua.

Thursday, May 15, 2008

Bloga dan buku

Saya masih lagi meneruskan hobi saya, melayari dan melayani bloga yang saya label 'cool dan berani'. Keberanian memang mengujakan saya dari dulu lagi. Ketelusan juga. Kejujuran lebih-lebih lagi. Ya, tuan-tuan, kebenaran memang mempunyai kuasa magnet yang tinggi bagi yang mencarinya. Pernah saya membaca sebuah buku (maaf saya pelupa, tajuknya tidak saya ingat) menyentuh tentang hal ini.
Manusia menjadi fanatik kerana percaya bahawa pegangannya benar, apa yang dilakukannya benar, apa yang disuarakannya benar. Sebenarnya, dalam satu sudut manusia seperti ini sangat menyayangi kebenaran cuma malangnya, kebenaran itu bukanlah kebenaran yang sebenar. Apa ukuran kebenaran kalian? Soalan ini sila jawab dalam hati ya?
Selain bloga, saya juga senang berjalan-jalan, bersiar-siar ke kedai-kedai buku. Itu hobi saya sejak dulu lagi. Saya barangkali bukan intelektual dan sebenarnya bukan menyambut sangat seruan kerajaan yang mengiklan sejak berpuluh tahun menyeru rakyat negara ini rajin membaca. Apatah lagi, saya tidak memerlukan kempen untuk menarik saya ke perpustakaan atau ke kedai buku berhampiran. (saya memang unik, sebab itulah kucing saya menyayangi saya).
Malangnya, bekerja di bandar yang kecil seperti ini, banyak menghadkan saya melayani hobi saya yang satu ini. Kedai bukunya hanya beberapa buah, dan kalau ada pun cuma memberi pilihan buku yang tidak mengikut selera saya. Kalau tidak penuh dengan buku-buku latihan untuk pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan 6, kedai-kedai buku yang saya lawati akan memenuhi rak-raknya dengan novel-novel cinta. Selalu saya mengeluh di dalam hati bila mengadap rak-rak buku berkenaan.
Saya memang bukan peminat novel cinta. Bukan prejudis, tetapi saya memang tidak sukakan novel-novel yang hanya berkisar tentang kekasih, berkahwin dan beranak. Ataupun, konflik antara kekasih yang tidak sudah-sudah, berladung airmata, lelaki yang bermulut manis, tampan, kacak cam pierce brosnan yang datang melamar, dan akhirnya hidup bahagia.
Ah, tolonglah! bagi saya novel sebegini, hanya mencorakkan pemikiran yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Akan tetapi malangnya, novel-novel sebeginilah yang laris di pasaran, dan majoriti yang membelinya ialah remaja perempuan dan perempuan-perempuan muda dalam lingkungan 18-35 tahun. (Walaupun ini bukan statistik, saya memang berani potong jari ia benar).
Fantasi cinta seperti ini, walaupun dari satu sudut dianggap ringan, sebenarnya mempengaruhi minda pembacanya. Juga mencorakkan persepsi seseorang tentang sesuatu hal, dan dalam perkara ini tentang cinta dan ciri-ciri pasangan yang ideal. Tidak percaya, tanya saja pada remaja perempuan sekarang yang asyik melayani novel-novel seperti ini, siapakah lelaki idaman mereka? Tuan-tuan tentu bersetuju dengan saya.
Saya masih lagi tersenyum. Kali ini sambil melayani Kopratasa.

Tuesday, May 13, 2008

Malam

Saya mahu tidur lena seperti semalam :)

Monday, May 12, 2008

Cerita-ceriti

Siapa yang boleh lari daripada cerita-ceriti pejabat? Saya walaupun cuba melepaskan diri sedaya-upaya, tersangkut juga dengan pelbagai kisah yang lalu di telinga. Saya bukanlah baik sangat, tetapi berbuih mulut bercerita tentang hal-hal yang tidak tentu hujung pangkal, bahkan hampir tidak berasas itu bagi saya memang berdosa dan perlu dijauhi.
Memang trademark Melayu agaknya (walaupun bukan semua), di depan bermulut manis, di belakang mulut berbau longkang.
Saya bukan pembenci bangsa sendiri, tetapi situasi yang dihadapi membuatkan saya rasa rimas dengan sikap-sikap yang tidak menguntungkan dan mula melabel bangsa saya yang 'bukan-bukan'. Tapi benarkah saya melabel mereka yang 'bukan-bukan'?
Kalau soal ampu-mengampu, bangsa saya jugaklah yang menunjukkan juara. Ampu sana, tikam sini. Kroni adalah malaikat yang maksum yang tidak punya daya langsung untuk melakukan kesalahan. Bukan kroni? Bersedialah menjadi bahan kutukan walaupun sebenarnya anda adalah pekerja yang baik.
Hal-hal berkaitan sikap seperti ini, bukan sahaja menyebabkan hubungan menjadi renggang, malah kualiti kerja juga bisa menurun. Suasana tempat kerja yang tidak menyenangkan mewujudkan tekanan yang tidak sedikit kepada sesiapa sahaja.
Tuan-tuan, produktiviti tidak boleh ditingkatkan dengan pujian melambung-lambung yang tidak kena pada tempatnya atau kritikan yang tidak membina. Kedua-duanya mematikan aliran usaha untuk penambahbaikan dan juga mencekik mati sebarang usaha untuk mencapai kecemerlangan.
Kecemerlangan dan penambahbaikan cuma boleh berlaku sekiranya pihak pengurusan dan juga staf sanggup bekerjasama secara baik dan berterusan. Kerjasama penting bagi memastikan sebarang tugas yang diamanahkan boleh dilaksanakan dengan baik kerana tugas di dalam sesuatu organisasi bukanlah bersifat usaha individu tetapi sebenarnya lebih tertumpu kepada gembelengan usaha secara kolektif.
Jika tuan-tuan tidak percaya, bacalah mana-mana buku pengurusan, pasti tuan-tuan juga akan bertemu formula yang sama.

Sunday, May 11, 2008

Sajak

Kebelakangan ini, saya berminat membaca sajak. In fact, sungguh2 berminat sampaikan saya boleh mengadap skrin yang menyakitkan mata ini lama-lama mencari dan meneliti sajak2 di jaringan-jaringan yang tercapai. Sensasi terbaru saya, Pyan Habib (Pyan bukan baru, tuan2. Malah dia satu nama besar).
Dan tak jarang pula saya melayani artikel2 weblog yang bernada 'terang dan nyata'. Ya, saya manusia biasa, 'terang dan nyata' itu menarik hati dan perhatian saya. Biar apa pun yang dibualkan manusia2 politik dan juga akhbar, tsunami maklumat menerusi blog ini bagi saya sendiri bukanlah baru. Saya sudah melayani blog sejak tahun2 akhir saya bergelar mahasiswa. Bermula dengan blog berirama peribadi dengan warna-warna tersendiri, saya kini lebih terpanggil untuk membaca tulisan2 'terang dan nyata' di dalam blog2 yang saya label sebagai 'cool dan berani'.
Dan saya memang peminat Abdullahjones. Blog ini saya temui beberapa tahun lepas dan terus mengikutinya hingga sekarang. Barangkali ada yang kurang menyenangi tulisan2 berbau 'sengit' seperti mana yang ditulis AJ, tetapi, yang nyata saya suka pada ketelusan seperti itu. Barangkali, bukan semua yang diutarakan oleh sesetengah penulis itu boleh dipakai, bergantunglah pada keadaan dan penilaian. Dan seperti mana kata orang, kalau mahu percaya semuanya, buang sahaja otak kamu ke laut.
Salam untuk yang membaca blog ini (yang saya yakin tidak ramai). Saya sedang ketawa sendirian.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran

Hari ini harijadi adik. Hepi besday, Adik! Semoga dirahmati Allah selalu. Kami, kakak2 dan long akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Adik di dunia dan akhirat. Semoga murah rezeki, dipanjangkan umur untuk beramal soleh dan mengerjakan kebaikan :)

Friday, May 9, 2008

Hijau

Sudah dua tiga hari saya memerhatikan. Kembang bird of paradise di tempat kerja saya memang sangat-sangat cantik. Tadi, sedang enak-enak santai di lorong, (sempat pula berjual-beli), saya perhatikan lagi. Dua tiga hari ini, cuaca memang menyelar panas. Tetapi melihat pokok-pokok yang bermandi cahaya matahari yang memang mewah akhir-akhir ini memang menyejukkan perasaan saya. Alangkah baiknya kalau saya boleh merakam. Angin yang menyapa pokok-pokok besar, juga matahari hari ini. Satu senyuman untuk semua.

Thursday, May 8, 2008

Tidak

Aku mahu cerita tentang hujan
Itu pun kalau kamu mengerti

Wednesday, May 7, 2008

Defiant

Yes, i'm wearing that defiant attitude. Dont ask. You won't understand. Let's keep our silence consent, shall we? After all, silence is the remedy of arguments. Did u hear that? It's the wind of change! Be with it, or without it, and be satisfied with your own choice.

Tuan2 sekretari

Tuan2 sekretari
Aku ingin bertanya

Encik Raqib
Jenuhkah menulis amalan?
Encik Atid
Jemukah melihat kesalahan?

Tuan2 sekretari
Aku mahu melihat Ridwan
Aku mahu melihat Tuhan
Aku mahu melihat taman.

Tuesday, May 6, 2008

bukan

epal merah ini
belum tentu ke mulut
tanpa izin-Nya.

bukan syiling ini
bukan kerja ini
bukan peluh ini
yang melambai rezeki.

syukur perlu
bahagia atau derita
akur perlu
pada Yang Esa.

Monday, May 5, 2008

Sarah

Berita kuterima tepat jam 3.45 petang. Suara Maureen serak di hujung talian menyampaikan hal. Begitupun, dia tenang memberitahu, berjaya menekan emosi agar kekal rasional. Aku bergegas meninggalkan pejabat sebaik memutuskan talian dalam rintik gerimis bulan April yang setia.
Sarah sudah tiada. Kau tidak akan mendengar tawanya lagi. Sarah yang manis itu sudah tiada lagi, hatiku mengulang-ngulang. Wajah Sarah menerpa. Aku memandu membelok ke haluan hospital berdekatan.
‘Aku akan pergi. Musim bunga tahun ini. Pergi ketika tulip mekar,’ ujar Sarah beberapa hari lalu, seraya membuang pandangan ke luar tingkap. Aku cuma mampu memandangnya. Jemarinya yang dulu begitu halus dan runcing, sudah menjadi begitu kurus dalam genggamanku.
‘ Jannah, terima kasih.’
‘ Terima kasih?’ aku membelai rambut emas Sarah.
‘ Ya, terima kasih. Menemukan aku dengan hidayah, dengan kebenaran dan dengan Tuhan. Baru dua bulan aku memeluk Islam, agama memberi aku ketenangan yang tidak terhingga bagi aku menghadapi semua ini,’
Aku menahan genang airmata, membuang pandangan ke arah lain. Sarah tidak harus melihat aku menangis walau apa pun yang terjadi. Aku sudah berjanji sungguh-sungguh dalam diri sejak menerima khabar dari doktor tentang penyakit Sarah setahun lepas.
‘Syukurlah, Sarah. Kau menemui-Nya. Membukakan pintu hidayah buatmu, dan menenangkan hatimu dalam rahmat-Nya.’
‘Hei, kau bawakan apa untuk harijadiku?’ tiba-tiba Sarah mencucuk pinggangku sambil muncungnya menunjukkan pada bungkusan yang kuletak di atas riba.
‘Oh, ini? Hadiah untukmu. Selamat hari jadi ke-50,’ Sarah mencebik.
‘Kau memang pandai mengira. 2007 – 1980, Fitzgerald salah memberimu gred terbaik dalam Kalkulus,’ aku ketawa. Sarah masih belum melupakan hal kami di kampus dulu. Betapa cemburunya dia apabila aku, yang katanya hampir tanpa berusaha boleh mendapatkan keputusan sebegitu baik.
‘Oh, apa ni? Skaf?’
‘Ya, untuk perempuan yang meningkat tua sepertimu,’ Sarah memandang tidak berpuas hati mendengar komenku.
‘ Menutup aurat itukan wajib. Tidak kira usia,’ Aku senyum-senyum sahaja. Sarah tanpa sabar memakai skaf berwarna pelangi itu menutupi kepalanya yang comel.
‘ Bagaimana?’
‘ Perempuan tua yang sangat comel,’ aku tidak berhenti menyakatnya.
‘Perempuan Muslimah yang sangat comel, maksudmu,’ Sarah mengenyit mata.
Sarah itulah yang sudah tiada. Penyakit misteri itu telah membawanya pergi mengadap Tuhan. Ketika pertama kali, Sarah mendengar bahawa usianya tidak akan lanjut daripada setahun sejak setahun lalu, Sarah betul-betul kehilangan arah. Hampir gila.
Bagaimana, dia yang tidak pernah dihinggap penyakit walaupun sakit kepala menjelang musim panas boleh menerima nyawanya nyata begitu pendek dalam perkiraan doktor? Paling membingungkan, penyakitnya sedemikian misteri hinggakan doktor sendiri tidak dapat memberinya keterangan lanjut tentangnya.
Aku masih ingat bagaimana aku menenangkannya di bangku, akhir musim bunga tahun lepas. Aku masih ingat tangisannya yang panjang. Namun, berita hitam itu juga merobah tasawur hidup Sarah dalam usahanya mencari ketenangan. Mencari jawapan kepada apa yang berlaku. Dan akhirnya, Islam memberinya jawapan. Memberinya kekuatan.
Katanya, Tuhan memberinya penyakit untuk memberinya rahmat. Menjadikan dia sedar pada kebenaran yang ada di hadapan mata. Musibah akhirnya, memberinya bahagia.
Tiba di hospital, kulihat Maureen, saudara tua Sarah, sudah ada di depan pintu wad bersama sanak-saudara yang lain. Aku lantas memeluknya tanpa kata. Maureen cuma mampu mengesat air matanya dan menghantar aku ke dalam kamar rawatan Sarah.
Aku mendekati dan menatap wajah Sarah yang tenang, lengkap dengan skaf yang kuhadiahi. Sungguh manis, seolah-olah dia sedang tidur dalam senyuman. Di sisinya, naskhah Al-Quran terjemahan yang menjadi teman Sarah sejak beberapa lama.
Ketika aku membukanya untuk menghadiahkan bacaan Al-Quran kujumpai nota kecil di dalamnya berbunyi, ‘Terima kasih Tuhan atas penyakit ini. Terima kasih, Jannah, saudaraku.’ -Sarah Ann Maurice Appledore -
Aku menekup muka menahan esak. Langit musim bunga bagaimanapun cerah. Rintik sudah berhenti. Awan di luar bagai membentuk wajah Sarah yang bahagia menemui Yang Satu.

Sunday, May 4, 2008

Jejak

Beberapa minggu ini, saya cuba menjejak beberapa orang sahabat yang telah begitu lama menyepikan diri. Sepi kerana kerja, keadaan dan barangkali kerana halangan-halangan lain. Saya sendiri sudah begitu jauh daripada mereka. Menjelang 3 tahun di dunia pekerjaan, benarlah kata orang, kesibukan memang menghadkan perhubungan. Komitmen kita sudah beralih arah, samada memenuhi tuntutan kerja atau pun keluarga. Ini satu fasa yang benar-benar lain bagi kita. Kepada sekalian yang mengenali, salam sejahtera saya ucapkan. Saya di sini sentiasa mengingati, walaupun tanpa khabar berita yang diberi.

Saturday, May 3, 2008

Kelabu

Jiran saya sudah bangun. Saya ternampak kelibatnya di sebalik kereta ketika saya membuka jendela. Syukur hari ini tidak ada yang mengetuk-ngetuk dan menimbulkan fobia dan kesangsian yang bukan sedikit bagi pihak saya.
Hari masih terlalu baru, saya mencuba juga menjengah-jengah langit kalau-kalau sudah bertukar biru. Malangnya (?), menjelang pukul 8, langit masih lagi menciplak warna semalam, kelabu dan sedih.
Saya mencongak-congak untuk keluar hari ini. Menyelesaikan beberapa hal sebelum membeli-belah serba sedikit. Owh, sewa rumah belum saya bayar, yuran kelas pun belum. Tapi, above all dalam cuaca begini, kemahuan saya jadi terbantut untuk keluar.
Langit kelabu begini, mudah sahaja menjanjikan hujan tiba-tiba. Manusia yang tidak punya kenderaan beratap seperti saya, hujan adalah masalah kedua besar selepas AUKU. Apa halnya dengan rombakan AUKU? Mujurnya, saya bukan mahasiswa lagi. Gelaran tersebut sudah saya lepaskan beberapa tahun. Time flies. Saya yang berumur 23 tahun itu pun sudah tidak ada lagi.
Menjejak kaki ke ruang pekerjaan, saya memang betul-betul rindu untuk kembali ke dewan kuliah. Sementelahan ramai kawan-kawan saya yang sudah menyiapkan program lepasan ijazah mereka dalam tempoh 3 tahun ini.
Bila dibandingkan dengan pencapaian mereka, saya merasa sungguh-sungguh ketinggalan. Hidup saya berjalan dalam langkah yang pendek-pendek dan kadang-kadang serasa saya asyik berpusing di tempat yang sama. Ini menyakitkan kerana saya manusia yang percaya hidup yang tidak punya peningkatan (samada dari sudut rohani dan intelek) adalah sangat merugikan.
Setiap pagi, saya memasang angan untuk membina hidup baru, menambahbaik, memperbaiki dengan harapan saya tidak lupa tentang peningkatan yang diperlukan, supaya saya tidak alpa dengan perkara-perkara remeh yang selalu membuat saya senyum sumbing dan menggeleng kepala.
Saya terlontar ke daerah ini, apa bicara Tuhan kepada saya? Di tengah-tengah masyarakat yang begini, apa yang Tuhan mahu saya lakukan? Dan apa yang telah saya lakukan? Saya masih melayani 'have u ever seen the rain'. Sesuai sangat dengan hari yang gloomy begini. :)
KC 301, ex-residents! Pagi ini saya terkenang kalian! Apa khabar?

Friday, May 2, 2008

Hujan?

Pagi ini saya bangun dengan tidak bersemangat sekali. Wah, mengantuknya mata! Di luar langit pon kelabu. Macam mengacah-ngacah hendak hujan. Hari ini, saya berjanji mahu menumpang kawan sekerja. Pukul tujuh pagi sudah terpacak di tepi simpang, tidak tahan berjalan dan berdiri, saya duduk terhempuk di bawah atap gerai makan yang belum dibuka. Lama saya menunggu, mp3 saya berdengung-dengung di telinga. Menyanyikan lagu hujan di Amerika. Lagu cuaca. Lagu rock 70-an (maaf la saya mmg rock! haha). Hanyut beberapa lama, saya melihat jam tangan. Ah, saya sudah terlambat. Positif saya ditinggalkan! Erm.. alahaii

Thursday, May 1, 2008

Jiran

Saya tidak tahu kenapa sejak dua tiga menjak ini tidur saya selalu terganggu. Saya jenis manusia yang suka tidur awal (kononnya mahu dapat quality sleep) tapi kemudian menjelang 2, 3 pagi mata saya mula celik dan cerah. Saya berkisar ke kiri dan kanan, bilik saya memang suram dengan lampu tidur. Dalam keadaan begini, selalunya saya berdoa untuk tidak memikirkan bukan-bukan. Sekian lama saya sudah mengharamkan menonton filem-filem seram yang menjadi kegemaran saya sejak menjak remaja.
Tapi kemudian saya terfikir, 2,3 pagi ni sesuai untuk apa ya? Saya tidak boleh berjoging di luar, bimbang jiran saya menelefon Rumah Bahagia kalau ternampak saya berbuat demikian setiap dinihari. Saya juga tidak berminat langsung menonton apa-apa rancangan televisyen menjelang 2, 3 pagi. Sedangkan waktu perdana pon saya tidak punya minat sedemikian, apa rasionalnya saya membuka siaran kotak empat segi tersebut pada waktu pagi-pagi begitu. Sementelahan pula, tv itu bukan milik saya. Saya segan menggunakannya.
Pagi tadi jiran saya bertukang lagi. Saya lantas bangun tersentak dari tidur, jam sudah menunjukkan pukul 7. Minggu ini bulan mengambang penuh jadi saya tidak risau menggantikan solat yang terlepas. Dari atas katil, saya cuma mendengar ketuk-ketuk rumah sebelah. Inilah bahana rumah terlampau dekat, jiran mengepam najis pon saya boleh dengar dengan jelas. Arakian terlampau dekat, saya jadi manusia yang sering curiga khususnya pada waktu malam.
Jiran saya ini aktif, malam-malam pon dia suka mengetuk. Saya sungguh tidak tahu apa yang dia kerjakan. Tidak pernah ada niat pon saya untuk bertanya. Ketuk-ketuknya membuat saya perasan seolah-olah ada pencuri yang cuba mengumpil pintu rumah saya. Keliru sungguh. Kalau terbatuk tengah malam, saya hampir yakin manusia itu sudah duduk di bilik sebelah saya, cuba untuk merompak. Fobia sungguh!

layan lagu ni

Someone told me long ago
There's a calm before the storm,
I know; It's been comin' for some time.
When it's over, so they say, It'll rain a sunny day,
I know; Shinin' down like water.
[Chorus:]I want to know, have you ever seen the rain?
I want to know, have you ever seen the rain
Comin' down on a sunny day?
Yesterday, and days before,
Sun is cold and rain is hard, I know;
Been that way for all my time.
'Til forever, on it goes Through the circle, fast and slow,
I know; It can't stop, I wonder.

selamat hari pekerja!