Tuesday, November 11, 2008

Setia

Beberapa hari lepas, sejawat mengulas tentang hal favorit wanita. Setia. Rupanya, isu ini belum lagi pudar dari kepalanya selepas beberapa sesi perbincangan 'hangat' di bilik kerja seminggu sebelumnya. Saya cuma memasang telinga, mengangguk, mengiyakan dan kadang kala bertanya apabila ada yang menyangsikan.
Saya sebenarnya jarang ikut serta dalam forum berkategori 'suami isteri' ini. Pertama, kerana bahasa yang digunakan lazimnya begitu 'mendalam' hingga saya keliru dalam kosa kata golongan ini. Kedua, ya mereka menghormati saya, makanya diskusi itu selalunya dibiarkan berlalu dalam bentuk kod-kod tertentu dengan remark di akhirnya, 'eh, sini ada orang bujang la..'
Selalunya saya cuma mendongak dan buat-buat tidak tahu saja tentang hal mereka itu.
Tetapi beberapa hari lalu, saya sudah terlibat dalam topik dewasa ini. Lebih malang, ada pula cerita berbau skandal yang memang sungguh hancing baunya. Saya melongo. Sungguh saya tidak pernah mendengar hal itu. Kemudian, di dalam hati timbul pula rasa riak, betapa baiknya saya tidak pernah mengambil tahu hal ini dahulu.
Kisah skandal seperti ini, walau selalu didengar tetap kurang enak diketahui sekiranya, yang terlibat itu melibatkan orang yang dikenali. Apa yang lebih malang daripada isteri yang bermain kayu tiga? Lebih malang lagi, bila si isteri memiliki latar belakang asuhan agama yang cukup dan bertugas sebagai seorang yang dihormati ramai.
Dalam banyak hal, apabila membicarakan soal kesetiaan banyak pihak suka menuding jari pada yang lain. Si A salah kerana menggoda. Si B tidak bersalah kerana tergoda dan membalas godaan si A dengan layanan-layanan yang tidak sepatutnya. Tidak sedikit juga yang suka menyalahkan situasi. Jalan senang untuk menyalahkan keadaan kerana mahu lolos daripada kesalahan yang dilakukan.
Tuan puan, hidup ini pilihan. Maka gunalah akal untuk memilih dan bukan untuk berdalih menyokong nafsu yang jahat. Fikirkan.