Saturday, June 7, 2008

Panggilan

Semalam saya menerima panggilan daripada seorang kenalan yang berpangkat 'adik-adik' kepada saya. Di hujung talian, dia memberi komen yang dia sungguh tidak berpuas hati dengan sikap saya. Katanya, saya selalu bersikap aloof, suka lari daripada pertanyaan, suka memberi jawapan yang tidak berkaitan.
Saya tersenyum cuma di hujung talian, memberikan ruang kepada 'adik' ini untuk meluahkan rasa. Sepanjang perbualan saya cuba menyelit-nyelit juga tetapi nyata dia gagal memberi saya ruang. Sikapnya itu sekali lagi membuat saya tersenyum dan apabila tidak tertahan, saya ketawa.
Dalam jawapan kepada seluruh pertanyaannya, saya memberikan nasihat berdasarkan pengalaman. Ya, apalah yang ada pada saya selain pengalaman dan juga sedikit ilmu yang saya kutip di sana-sini. Sikap tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan memang kurang saya gemari. Dan sebenarnya, walaupun saya boleh dibawa bergurau (yang kadang2 saya sendiri melampau) hal-hal yang remeh-temeh jarang mahu saya beri perhatian.
Rencah hidup, tidak semua perkara boleh kita beri perhatian. Maka kita lebih selektif. Dalam hal 'adik' ini, pertanyaan yang diajukan saya anggap kurang penting, maka saya berdiam diri sahaja tentangnya. Apalagi kalau pertanyaan seperti ini adalah sejenis pertanyaan yang bercambah. Dijawab satu akan timbul dua atau tiga lagi yang berekor di belakangnya. Bukan satu closed ended question yang saya gemari.
Terkemudian, 'adik' ini memberitahu hasratnya untuk berkahwin awal. Sekali lagi saya tersenyum. Dia beralasan kursus yang diambilnya sangat memberatkan fikiran, maka dia perlukan teman.
Dari satu sudut, memang saya akui hal tersebut. Akan tetapi, dengan keadaan sikapnya yang masih keanak-anakan, mudah merajuk dan kurang mahu menerima pendapat, saya rasa kapasitinya untuk menerima tekanan dan tanggungjawab sebagai seorang suami adalah masih diparas minima.
Dalam keadaan ini, dia mahu menyelesaikan tekanan dengan mengambil tanggungjawab yang lebih berat. Mungkin ada yang berpendapat, dia sebagai manusia boleh belajar dan institusi perkahwinan itu sendiri akan merobahnya, tetapi siapa yang bakal menanggung anak isterinya nanti sedangkan dia masih belajar?
Tentu, rezeki Tuhan ada di mana-mana. Malangnya, sepanjang saya di kampus, perkahwinan yang suci ini akhirnya dijadikan alasan kepada pelbagai masalah keluarga termasuk kewangan. Masing-masing akhirnya menyedari cinta sahaja tidak cukup untuk meneguhkan ikatan perkahwinan yang telah dimeterai. Dan paling malang lagi, masalah kewangan ini kemudiannya disandarkan kepada keluarga sebelah isteri dan suami masing2 bagi menampung keperluan hidup yang mendesak.
Lantas apalah ertinya perkahwinan jika si suami sebenarnya tidak mampu menyediakan nafkah kepada si isteri? Perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan biologi manusia. Ia adalah satu bentuk tanggungjawab di dalam kontrak kasih dan cinta kepada Allah. Cinta kepada Allah memerlukan kita memenuhi suruhan-Nya sedaya upaya. Dan di dalam konteks perkahwinan seperti ini, di manakah letaknya penyempurnaan suruhan Allah itu?

1 comment:

Abu_Zubair said...

ya setuju...pernikahan itu satu amanah dan tanggungjawab...

teringat kata2 seorg org lama:

bdk2 sekarang nak dinikahkan awal2 takut tak tertunai tanggungjawab...sbb mgkn kurang berdikARI..

kalau x dinikahkan karang takut dibuatnya maksiat dgn bermaharajalela