Monday, June 30, 2008

Pentas

Hari ini saya menyaksikan semula episod yang diulangtayang. Live in concert. Menariknya, pelakon yang melakonkan watak maha jijik tersebut ialah pelakon-pelakon lain yang jauh lebih veteran dan berpengalaman daripada saya. Saya sedari ketika itu, sesiapa pun boleh memeran watak si tamak haloba, pengkhianat, pendendam, asal saja mempunyai kemahuan.
Hari ini, peranan yang diberikan kepada saya bersifat aloof dan melankolik. Sahabat saya bertuah memegang watak sampingan justeru emosinya tidak perlu begitu ketara di pentas. (Mungkin ini tidak benar dalam situasi sebenar kerana selepas tamat babak klimaks tersebut dia merungut dalam sindiran tentang betapa jijiknya dia dengan lakonan si veteran).
Pementasan hari ini memang menarik. Saya kira para pengkritik drama akan berpuas hati dengan segala sudut yang dipersembahkan. Atau bagi penonton yang mencari erti mendalam tetapi jelas, saya tentu akan mengesyorkan pementasan ini. Apatah lagi pelakon-pelakon handalannya antaranya ialah saya.
Mesej drama ini mudah. Betapa setiap orang tidak boleh lari daripada silauan wang ringgit jika tidak kerana keyakinan dan iman di dada. Walaupun, seorang veteran, berilmu agama, yang mengaku makan garam lebih daripada pemeran-pemeran muda. Lakonan si veteran kali ini memang menjijikkan. Saya hampir pasti pesta filem Cannes bakal bergegar dengan kehebatan bintang tua ini.
Hati suci, ikhlas dan cinta pada perjuangan dan agama adalah kesimpulan bagi drama ini. Betapa ilmu agama dijual sebegitu rupa hingga yang penting bagi setiap usaha yang dijalankan perlu berlandaskan wang. Tiada wang, tiada keringat. Hatta untuk kemajuan bangsa atau jika si veteran mahu melihat lebih jauh lagi usaha menggandakan pahalanya di akhirat.
Drama ini ringkas menceritakan tentang kerakusan manusia pada wang di dalam senyuman yang terukir di bibir mereka. Juga pada setiap hujah mereka yang kononnya bertunjangkan peraturan dan juga watikah-watikah rasmi pihak berkuasa. Drama ini superb dari sudut itu dan saya sendiri sebagai pemeran yang melankolik begitu terkesan dengan apa yang dipersembahkan hari ini.
Tuan-tuan, drama atau filem hebat Melayu tidak ada di panggung wayang. Ia ada dipentaskan dalam realiti hidup masyarakat yang sakit ini. Mahu tonton filem Melayu yang bagus? Tontonilah hidup anda sendiri. (Jika anda seorang Melayu yang prihatin).

No comments: