Thursday, May 7, 2009

Pagi lagi

Tamimaru sudah bangun. Biru sudah jaga. Mereka buah hati saya yang teramat manja. Setiap kali melihat keduanya bermain dan melompat, saya terfikir betapa mudahnya hidup tanpa prasangka, tanpa prejudis pada keturunan dan warna kulit. Betapa cantiknya isi dunia apabila diisi dengan ramah-tamah dan tolak ansur serta saling menolong.
Impian manusia sejak dari zaman primordial. Aman dan baik itu selalu ditentang, anehnya daripada manusia yang mengkehendaki bahagia itu sendiri.
Pagi ini saya bingkas mengurus rumah. Dengan harapan keteraturan fizikal ini akan mengatur semula celaru di dalam hati. Saya gusar dan mengkehendaki aman. Saya mengingini pengertian. Bukan daripada orang lain tetapi daripada diri sendiri.

Tuesday, May 5, 2009

Gembira

Setiap kali bila gembira itu datang, saya selalu pula menanti sudut sedihnya. Pessimistik bagi yang lain, tetapi saya tidak memandang hidup ini dengan optimisme kalut yang sering menipu dengan hal yang muluk-muluk. Saya tidak tinggal di dalam kisah dongeng, maka dalam banyak hal, sudut ajaib dalam hidup untuk gembira selalu itu selalu saya kesampingkan.
Beberapa hari ini, saya ingin melazimi apa yang telah lama saya tinggalkan. Mengetahui hal sebegini saja yang bisa membuat hidup saya stabil dan tenang daripada gangguan. Saya bilang pada seorang teman, saya mahu jadi ascetic buku. Dia barangkali, dapat menerima itu.
Jadi berkubukan buku-buku ini, saya mahu melihat jalan luas yang pernah saya lihat dulu. Mata saya terbatas, perasaan saya terkongkong dalam norma masyarakat yang tidak selalu saya mengertikan, pengalaman saya jadi dengkat oleh kesempitan ruang yang boleh saya jelajahi.
Keluar daripada kepompong norma yang serba tidak kena ini bukan juga suatu yang mudah. Barangkali kerana itu, bila seseorang benar-benar dapat membuka hati untuk melihat dan memahami sekelilingnya, dia menjadi tercerah. Enlightened.
Perjalanan kali ini, mahu saya telunsuri dengan mata hati seorang dewasa. Seorang perempuan dari balik dinding fizikal yang sempit. Saya mahu buku-buku ini menjadi mata saya yang jernih dan tajam. Saya mahu objek empat segi ini menguakkan tirai-tirai labuh yang tebal itu untuk memahami.
Saya mahu menghargai keajaiban seperti itu.