Saturday, August 23, 2008

Rock

Semalam saya berbual dengan Rock. Rock manusia sibuk, jika berbicara selalunya tentang hal yang santai. Saya selalu senang dengannya kerana hal itu. Mendengar Rock bercerita tentang buku, saya dengan nada malu dan merendah diri separa bonsai mengaku belum menghabiskan apa-apa buku pun dalam tempoh 2 bulan ini. Di dalam hati saya tertanya-tanya, kenapa belum saya membaca Beta Sultan Alauddin? Atau pun Surat Perempuan Johor yang diiklan Rock lama dahulu?
Saya kira Rock barangkali pelik mendengarnya tetapi dengan nada sopan mengalih cerita tentang langit. Cerita itu mengingatkan betapa lamanya saya tidak keluar mengambil apa-apa gambar sejak Januari. Cadangan saya untuk memuatnaik beberapa gambar di sini pun sudah beberapa kali tertangguh dan akhirnya terbengkalai. Saya cemburu dengan beberapa shot Rock yang bagus, tidak sia-sia dia melabur mengeluarkan simpanan untuk membeli DSLR.
Saya mahu melukis langit petang. Mahu ikut?

Saturday, August 9, 2008

Duit

Masuk minggu ini sudah hampir 2 bulan saya tinggal di rumah sendirian. Rakan serumah saya, sesudah melahirkan memilih untuk berpantang di rumah saudaranya di Damansara. Nasib orang tidak beribu, mahu tidak mahu terpaksalah mencari yang sanggup menjaga.
Rumah ini sunyi disebabkan kebiasaan saya berkurung di dalam bilik dan kedegilan saya yang enggan membuka siaran televisyen. Jangan tanya tentang anchor tv3 terbaru, saya tidak tahu. Jangan juga tanya tentang sinetron Indonesia atau mana-mana rancangan bersiri terkini, bimbang kamu akan mengesyaki saya tinggal di dalam gua kerana jawapan yang tidak bertepatan dengan kehendak kamu.
Barangkali memang benar, saya antara rakyat Malaysia yang tidak gemar menonton tv. Silalah warwarkan kepada media, kerana ini adalah salah satu kejadian yang maha ajaib yang pernah berlaku di negara ini.
(Ini kerana saya yakin rata-rata rakyat Malaysia memang sayangkan kotak empat segi yang boleh memuat sejuta orang di dalam satu frame kecil itu.) Mastika, jika mahu mewawancara, saya memang tidak keberatan menerima kunjungan.
Ah, lupakan polemik murahan! sekembali dari hospital semalam saya memang bercita-cita besar hendak membasuh kain. Malangnya, mesin basuh saya mengamuk dan membebel sehingga berasap atas protes yang tidak saya tahu puncanya. Saya melompat dari bilik air lagak pendekar yang bersiaga menentang sebarang marabahaya.
Malangnya, kerana saya pendekar purba kala, hal-hal mesin ini tidaklah saya ketahui. Saya bingkas menelefon yang berkaitan, meminta pandangan. Sekali lagi malang, yang berkaitan juga tidak mempunyai kuasa penglihatan x-ray untuk melihat hal berasap itu dari jauh. Jadi esok saya perlu bersiaga ke bank, untuk membeli mesin yang baru. Duit lagi.


ya

Magis. Dalam ayat yang ringkas.

Friday, August 8, 2008

Tanah

Saya teringatkan tanah. Yang selalu saya pijak dan injak. Dekat dan selalu dijamah kaki. Tanah ini sekian luas, didiami yang hidup dan yang sudah tiada. Saya ini tanah juga. Bukan babun. Di celah-celah jari, tanah ini terasa lebih-lebih dekat lagi. Bila masa menjemput, saya mahu bersedia.