Wednesday, November 25, 2009

sepagi

Saya sudah membaca Dunia Sophie; dengan meninggalkan beberapa bab di belakang. Buku ini menarik dan saya pasti punya peminatnya yang tersendiri. Barangkali bukan segala yang ingin disampaikan di dalam buku ini dapat diterima oleh semua. Jika anda seorang peminat novel cinta, buku ini memang tidak exciting langsung.

Beberapa minggu yang lepas, saya kebosanan. Ada lompang masa yang perlu diisi, jadi saya mencari bahan bacaan yang sesuai untuk tujuan tersebut. Saya menemukan novel Kawin-kawin karya Azizi Hj Abdullah dipinjam bersama sebuah novel Jepun yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu, penulisnya sudah saya lupa. Apa yang menarik perhatian saya pada masa itu, penulis tersebut adalah pemenang Nobel.

Novel Kawin-kawin sememangnya sinis dan lucu walaupun sebenarnya, Azizi cuba membincangkan hal yang serius. Nikah mut'ah. Jalan cerita dan bahasanya mudah sahaja, siapa yang pernah membaca karya beliau sebelum ini akan segera mengesan kepintaran bahasa Azizi dalam menerangkan plot dan perkara. Keseluruhannya, novel ini bagi saya berjaya melukis satu fenomena jelek yang memualkan pembaca tentang manusia yang terlibat dalam nikah mut'ah.

Buku Jepun tersebut? Mengecewakan saya. Barangkali gaya penulisan 50-an memang begitu. Meleret dalam memberi gambaran detail tentang suasana dan emosi. Lantas saya menggantikan buku ini dengan Dunia Sophie yang lebih dekat dengan diri saya.

Dunia Sophie membawa kembali ke riba saya kelas yang pernah saya ikuti beberapa tahun ke belakang. Memnuculkan Socrates, Plato dan Aristotles dalam sebuah novel saya kira satu pendekatan yang belum pernah saya jumpa dalam mana-mana buku sebelum ini. Ramai menganggap falsafah dunia kosong dan membosankan. Tetapi betapa ramai pula, yang tidak mengetahui mereka sebenarnya terlibat secara langsung dalam dunia tersebut dari sudut praktikalnya sehari-hari.

Falsafah telah lama menjadi akar dalam pembangunan manusia, khususnya Barat. Mengenali falsafah mereka adalah bermaksud mengenali gaya pemikiran dan hidup mereka. Memahami sebab mereka membangunkan teknologi pemusnah sebegitu rupa. Dan mengapa setelah begitu lama mereka bertembung dengan tamadun Islam, pembangunan yang mereka dirikan tidak sedikit pun mencontohi tamadun yang mencintai alam ini dan bukan menganggapnya sebagai musuh!

Memahami falsafah mereka, memberi banyak gambaran tentang jiwa tamadun Barat yang sakit. Barat tidak baru saja sakit. Ia telah sakit berkurun yang lepas akibat mengabaikan agama dan sikap mereka yang memusuhi alam serta menganggap Tuhan sebagai tidak adil serta suka menzalimi manusia atas alasan iri hati dan khianat.

Jelek kan?

Persoalannya bukan tentang hal terminologi yang payah disebut lagi susah difahami. Pokoknya, adakah kita sudah menggariskan satu sempadan dalam hidup kita sekarang, bahawa kita bukan mereka? Barat bukan lagi soal nationality. Ia soal gaya hidup dan pandangan beragama. Maka jika ada artis yang mengaku Melayu dan ISLAM tetapi berlagak tidak ubah seperti Mary Goldman atau Richard Richardson, itu anda boleh simpulkan sendiri!




No comments: