Sunday, March 22, 2009

mertua

Hujan turun mencurah. Lebat dan bising di luar kafe. Aminah sengih dalam menggigil. Tiada tanda marah meski pertanyaan saya memang nyata sensitif.
‘ 1997. Aku dan dia mahasiswa. Sama-sama panas tentang apa yang berlaku. Sama-sama berdemonstrasi kemudian dalam gawat itu, jatuh cinta,’
‘ sekarang?’
‘ Dia kisah lampau. Rumah tangga kami berantakan kerana tidak sefahaman. Aku tak ingin lagi dizalimi ibunya terus menerus. Dia pula, barangkali ya, mahu menjadi anak yang mendengar kata ibunya 120 peratus, melihat dan mendengar saja. Tidak bertindak. Aku tak tahan,’ Aminah meniup-niup kopi yang panas, mencicip sedikit lantas mendesah panas. Dia tersenyum-senyum.
‘Kami tidak menyimpan dendam.. err..setidak-tidaknya aku tidak ada. Perpisahan memang perit. Tetapi aku berpisah untuk bahagia. Barangkali kedengaran pelik, tapi memang itu yang aku dapat sekarang,’
‘Perkahwinan tanpa restu mertua, aku fikir, memang susah. Mungkin aku yang tidak sabar. Ibu aku sendiri menyalahkan bila aku memutuskan begitu. Tapi dia juga aku rasa mengerti. Aku anak ayah yang pantang disakiti tanpa sebab. Dan aku enggan diperhambakan dan dicerca orang setiap hari atas alasan yang tidak munasabah,’
‘Ayah bilang begini, hidup ini biar merdeka, biar bermaruah. Hormat orang akan datang selepas itu. Kau faham? Cinta manusia bukan segala-galanya,’
“Anak-anak? ‘ saya bertanya lagi.
‘Aku ibu tunggal. Anak-anak aku masih punya ayah Cuma tidak tinggal serumah. Semasa mendapatkan hak penjagaan, mertuaku menggasak hebat mahu memunya. Syukur hak menyebelahi aku. Hidup tanpa anak-anak adalah kiamat dunia,’ Aminah ketawa kecil.
Saya menyeluruhi wajahnya. Aminah ini sudah begitu jauh berbeza daripada gadis 16 tahun yang pemalu itu. Memori saya tentangnya hanya berkisar di sekitar sekolah. Selepas 2 tahun berpisah membawa hala masing-masing ke menara gading.
Aminah, anak nelayan itu mengenal Glasgow. Tranformasi Aminah itu yang membuat saya mahu menangis dan senyum sekaligus.
Hujan merintik lagi. Saya memesan secawan lagi kopi. Ini pertemuan selepas beberapa tahun. Bersama Aminah.