Tidur tidak cukup. Makan sedikit. Haus semacam. Surfing hal-hal anak-anak, barangan bayi, (diri sendiri baju tak bertukar dua tahun tu tidak penting!), obses dengan total breastfeeding.
Itu baru sepersepuluh hal bila menjawat jawatan ibu. Ibu, ibu..
Selalunya kita lupa. Jadi ada yang datang mengingatkan. Perkara biasa jarang mahu kita kenang sebagai nikmat. Berjalan, baring, tidur malah menyahut panggilan alam tanpa bimbang adalah sebahagian daripada nikmat Tuhan yang jarang-jarang mahu kita syukuri. Apabila semua itu dihilangkan secara tiba-tiba biarpun sekejap barulah hati mahu berfikir. Betapa sedikitnya diri menyebut 'Alhamdulillah'.
Satu laman peribadi. Yang cuma mahu dilihat oleh yang tertentu. Dunia sekarang, dunia facebook, myspace dan jika mahu ditambah senarainya di sini tidak mengurangkan ancamannya pada dunia peribadi seseorang.
Peribadi tidak lagi peribadi. Pada sesetengah ia barangkali satu idea rangkaian yang baik. Tapi barangkali tidak bagi manusia privasi seperti saya. Dalam banyak keadaan saya memang selective dengan banyak perkara.
Mohon maaf jika tidak berjumpa nama saya di Facebook. Atau Myspace. Tapi jika mahu boleh diketuk dan ditaip saja alamat laman ini. Saya mahu menulis lagi. Kepada yang membaca, terima kasih.
Hari ini bercuti. Bukan seperti biasa. Duduk di rumah di tengah-tengah minggu bekerja samalah sunyinya semacam tinggal di satu rumah yang lain. Saya melawat laman teman-teman. 5 tahun memang jangka masa yang pendek tetapi perubahan yang muncul bukan sedikit. Kita barangkali nostalgik tentang sesuatu. Pagi ini, saya merasakan betapa jauhnya masa muda telah saya tinggalkan di belakang. Dan betapa dekatnya saya, ke hujung jalan usia.