Saturday, August 9, 2008

Duit

Masuk minggu ini sudah hampir 2 bulan saya tinggal di rumah sendirian. Rakan serumah saya, sesudah melahirkan memilih untuk berpantang di rumah saudaranya di Damansara. Nasib orang tidak beribu, mahu tidak mahu terpaksalah mencari yang sanggup menjaga.
Rumah ini sunyi disebabkan kebiasaan saya berkurung di dalam bilik dan kedegilan saya yang enggan membuka siaran televisyen. Jangan tanya tentang anchor tv3 terbaru, saya tidak tahu. Jangan juga tanya tentang sinetron Indonesia atau mana-mana rancangan bersiri terkini, bimbang kamu akan mengesyaki saya tinggal di dalam gua kerana jawapan yang tidak bertepatan dengan kehendak kamu.
Barangkali memang benar, saya antara rakyat Malaysia yang tidak gemar menonton tv. Silalah warwarkan kepada media, kerana ini adalah salah satu kejadian yang maha ajaib yang pernah berlaku di negara ini.
(Ini kerana saya yakin rata-rata rakyat Malaysia memang sayangkan kotak empat segi yang boleh memuat sejuta orang di dalam satu frame kecil itu.) Mastika, jika mahu mewawancara, saya memang tidak keberatan menerima kunjungan.
Ah, lupakan polemik murahan! sekembali dari hospital semalam saya memang bercita-cita besar hendak membasuh kain. Malangnya, mesin basuh saya mengamuk dan membebel sehingga berasap atas protes yang tidak saya tahu puncanya. Saya melompat dari bilik air lagak pendekar yang bersiaga menentang sebarang marabahaya.
Malangnya, kerana saya pendekar purba kala, hal-hal mesin ini tidaklah saya ketahui. Saya bingkas menelefon yang berkaitan, meminta pandangan. Sekali lagi malang, yang berkaitan juga tidak mempunyai kuasa penglihatan x-ray untuk melihat hal berasap itu dari jauh. Jadi esok saya perlu bersiaga ke bank, untuk membeli mesin yang baru. Duit lagi.


ya

Magis. Dalam ayat yang ringkas.

Friday, August 8, 2008

Tanah

Saya teringatkan tanah. Yang selalu saya pijak dan injak. Dekat dan selalu dijamah kaki. Tanah ini sekian luas, didiami yang hidup dan yang sudah tiada. Saya ini tanah juga. Bukan babun. Di celah-celah jari, tanah ini terasa lebih-lebih dekat lagi. Bila masa menjemput, saya mahu bersedia.

Monday, July 21, 2008

1 mm

Sebab dia tidak menyesal.

Wednesday, July 16, 2008

Drama II

Pentas lagi. Kali ini benar-benar pentas. Dan benar-benar cerita. Cerita yang berbaur, mengadun pelbagai unsur dan mesej yang padat. Menyaksikan hal seperti ini, yang hanya berlaku sekali-sekali tentulah membawa aliran emosi yang berlainan bagi yang menghayati.
Di lapangan penonton, saya duduk di tempat paling jauh kerana yang penting bagi saya pada masa itu ialah hantaran mesej, bukan lakonan-lakonan yang hangat dengan kata-kata yang berapi-api. Mesej pula bagi saya, bukanlah segala-gala yang diucap. Sedari dulu, itu bukan satu definisi yang tepat bagi apa yang saya katakan maklumat. Sekurang-kurangnya, itu takrif picisan saya.
Selesai pementasan, (erk, sebenarnya semasa pementasan berjalan lagi) gemuruh tepukan memenuhi ruang dewan yang saya kira bukanlah sebesar mana itu. Setiap kali tepukan bergema, otak saya menafsirkan maksud yang pelbagai.
Tepukan-tepukan tersebut, biar dengan nada gemuruh yang sama, membuat saya merasa kagum, meluat, benci dan terkesima dalam masa yang sama. Saya mengesan kefanatikan juga. Dan kebodohan.
Saya mahu ketawa. Dengan mentari yang maha terik ini.

Thursday, July 10, 2008

Drama

Beberapa hari berlalu, saya sememangnya mahu menulis di sini. Kebelakangan ini, saya dihambat masa, dikejar penat dan diheret dengan bermacam-macam perkara yang mengubah perjalanan hidup biasa. Rutin saya.
Saya ingin bercerita tentang drama. Juga pelakon-pelakon handalan yang memegunkan saya di satu sudut dan memualkan perasaan saya sendiri dari satu sudut yang lain. Betapa hidup ini pun satu pementasan yang hebat yang mana pelakon-pelakonnya adalah diri kita sendiri.
Beberapa hari ini, saya jadi penyaksi drama-drama hebat yang menjengkelkan hati. Tetapi jauh di sudut hati, saya kira drama ini pun ada kesan positifnya. Sekurang-kurangnya dalam memberi definisi baru bagi 'saya budak baru belajar' seperti saya. Personaliti manusia dan kecenderungannya, tidak dapat diduga dengan ilmu kita yang maha sedikit ini.
Open book yang tidak akan siap, kata sesetengah orang. Siapalah yang berani mencanang pada dunia bahawa dia kenal sesiapa seratus peratus?

Thursday, July 3, 2008

ringkas

I want my life back!