Thursday, July 10, 2008

Drama

Beberapa hari berlalu, saya sememangnya mahu menulis di sini. Kebelakangan ini, saya dihambat masa, dikejar penat dan diheret dengan bermacam-macam perkara yang mengubah perjalanan hidup biasa. Rutin saya.
Saya ingin bercerita tentang drama. Juga pelakon-pelakon handalan yang memegunkan saya di satu sudut dan memualkan perasaan saya sendiri dari satu sudut yang lain. Betapa hidup ini pun satu pementasan yang hebat yang mana pelakon-pelakonnya adalah diri kita sendiri.
Beberapa hari ini, saya jadi penyaksi drama-drama hebat yang menjengkelkan hati. Tetapi jauh di sudut hati, saya kira drama ini pun ada kesan positifnya. Sekurang-kurangnya dalam memberi definisi baru bagi 'saya budak baru belajar' seperti saya. Personaliti manusia dan kecenderungannya, tidak dapat diduga dengan ilmu kita yang maha sedikit ini.
Open book yang tidak akan siap, kata sesetengah orang. Siapalah yang berani mencanang pada dunia bahawa dia kenal sesiapa seratus peratus?

Thursday, July 3, 2008

ringkas

I want my life back!

Monday, June 30, 2008

Pentas

Hari ini saya menyaksikan semula episod yang diulangtayang. Live in concert. Menariknya, pelakon yang melakonkan watak maha jijik tersebut ialah pelakon-pelakon lain yang jauh lebih veteran dan berpengalaman daripada saya. Saya sedari ketika itu, sesiapa pun boleh memeran watak si tamak haloba, pengkhianat, pendendam, asal saja mempunyai kemahuan.
Hari ini, peranan yang diberikan kepada saya bersifat aloof dan melankolik. Sahabat saya bertuah memegang watak sampingan justeru emosinya tidak perlu begitu ketara di pentas. (Mungkin ini tidak benar dalam situasi sebenar kerana selepas tamat babak klimaks tersebut dia merungut dalam sindiran tentang betapa jijiknya dia dengan lakonan si veteran).
Pementasan hari ini memang menarik. Saya kira para pengkritik drama akan berpuas hati dengan segala sudut yang dipersembahkan. Atau bagi penonton yang mencari erti mendalam tetapi jelas, saya tentu akan mengesyorkan pementasan ini. Apatah lagi pelakon-pelakon handalannya antaranya ialah saya.
Mesej drama ini mudah. Betapa setiap orang tidak boleh lari daripada silauan wang ringgit jika tidak kerana keyakinan dan iman di dada. Walaupun, seorang veteran, berilmu agama, yang mengaku makan garam lebih daripada pemeran-pemeran muda. Lakonan si veteran kali ini memang menjijikkan. Saya hampir pasti pesta filem Cannes bakal bergegar dengan kehebatan bintang tua ini.
Hati suci, ikhlas dan cinta pada perjuangan dan agama adalah kesimpulan bagi drama ini. Betapa ilmu agama dijual sebegitu rupa hingga yang penting bagi setiap usaha yang dijalankan perlu berlandaskan wang. Tiada wang, tiada keringat. Hatta untuk kemajuan bangsa atau jika si veteran mahu melihat lebih jauh lagi usaha menggandakan pahalanya di akhirat.
Drama ini ringkas menceritakan tentang kerakusan manusia pada wang di dalam senyuman yang terukir di bibir mereka. Juga pada setiap hujah mereka yang kononnya bertunjangkan peraturan dan juga watikah-watikah rasmi pihak berkuasa. Drama ini superb dari sudut itu dan saya sendiri sebagai pemeran yang melankolik begitu terkesan dengan apa yang dipersembahkan hari ini.
Tuan-tuan, drama atau filem hebat Melayu tidak ada di panggung wayang. Ia ada dipentaskan dalam realiti hidup masyarakat yang sakit ini. Mahu tonton filem Melayu yang bagus? Tontonilah hidup anda sendiri. (Jika anda seorang Melayu yang prihatin).

Saturday, June 28, 2008

Diam?

Senyap. Pagi Sabtu memerap di dalam bilik memang heavenly. Saya sudah menjenguk beberapa kali ke luar, langit semakin kelabu menampakkan berat beban air yang dibawanya. Saya yang bercadang mahu keluar dan menguruskan dua tiga hal terpaksa sekali lagi membatalkan niat. Saya serik basah kuyup seperti yang terjadi di Subang. Lejap dan menggigil. Untung tidak demam.
Jiran saya sejak kebelakangan ini sudah kurang mengetuk-ngetuk. Saya bersyukur kerana ketuk-ketukannya selalu mendatangkan rasa sangsi yang tidak sedikit. Inilah musibah rumah 'berlaga tingkap', hampir 97% bunyi-bunyi menjadi milik bersama. Dikongsi samada suka atau tidak.
Sepagi di hari Sabtu, saya lebih senang melihat dunia dari tingkap kecil komputer. Kecil tetapi luas. Dimensinya mungkin berbeza tetapi memadailah untuk manusia yang selalu letih hendak keluar seperti saya.

Friday, June 27, 2008

Letih

Penat sahabat baik kerja. Jika anda tidak bekerja tetapi masih boleh merasa penat ketahuilah itu beban pandangan yang dilemparkan orang kepada anda. Tidak banyak mungkin. Mungkin berpikul-pikul sahaja.
Beban perasaan orang sekeliling dan juga diri sendiri sebenarnya juga mempunyai berat walaupun tidak berjisim. Lantaran itu, ramai mengadu resah, gelisah dan sesak nafas bila dilanda masalah. Mereka sudah ditimpa berat di tempat yang paling kritikal. Di dada mereka.
Saya sedang melayani letih fizikal. Sungguh. Salam untuk semua.

Wednesday, June 25, 2008

pusing

Menjauhi kebiasaan yang baik itu merugikan. Sebagaimana yang saya selalu lakukan sekarang. Menyedari hal itu, Istiqomah dalam banyak perkara paling susah untuk saya praktikkan. Setiap kali saya bermuhasabah begini, terasa sungguh kekurangan di dalam diri.
Lebih terasa apabila saya menyedari saya sekarang masih berputar di titik yang sama. Monotoni yang memerangkap. Seperti biasa gerakan bukan sekadar membawa positif, ia juga boleh jadi membawa tanda ulangan dan negatif.
Owh, saya mahu bercerita tentang situasi ini tetapi tiada perenggan yang boleh saya coretkan di sini untuk kamu merasai dan memahaminya dengan baik.
Saya sedang menunggu hujan dan jawapan dari angin.

Sunday, June 22, 2008

Ahad: Memoir (?)

We might be a Muslim, but sometimes we are not serious about being one. Seorang guru memberitahu kepada saya dan rakan sekuliah beberapa tahun lepas. Saya membawa kata-katanya itu ke mana-mana sejak itu. Dan kebelakangan ini peringatan itu menjadi reminder yang selalu giat berbunyi, menjerkah saya yang terlupakan banyak perkara.
Rutin menimbang amalan dari semasa ke semasa memerlukan mata hati yang jernih dan sensitif kepada banyak perkara. Juga sensor hati yang tidak cemerkap untuk menilai perbuatan kerana kita manusia biasa, lazimnya sering terleka dengan banyak perkara yang remeh-temeh.
Kita leka dalam mengulang kesalahan yang sama berkali-kali. Tidak serik apalagi insaf. Bagi saya, jika serik tidak ada dalam kamus hidup, itu satu petaka yang besar dalam hidup seorang muslim. Beberapa kali dalam pelbagai situasi saya mengingatkan diri sendiri tentang hal ini.
Semalam saya di kampung atas urusan keluarga. Pulang ke rumah, saya sudah separuh lembik. 5 jam di dalam perut bas memang mimpi ngeri bagi saya. Pulang ke kampung berhujung minggu, memang bukan kebiasaan saya dari dulu. Saya lebih rela terperap dalam bilik daripada menaiki bas sekerat hari dan akhirnya tidur mati di dalam bilik di kampung.
Sebaik membuka mata pagi ini, saya duduk mengadap rak buku arwah ayah. Ada beberapa buah buku yang menarik perhatian saya lantas saya belek dan masukkan ke dalam beg. Saya sudah lama tidak membaca bacaan ilmiah. Tiada alasan sibuk, saya sedari saya memang sudah semakin malas membaca buku-buku seperti ini. Bukan satu tabiat yang baik.
Meneliti buku-buku tersebut mengingatkan saya kepada banyak perkara. Pada ayah, kata-katanya, usahanya dan komitmennya kepada ilmu dan juga kuliah. Pada agama, khususnya. Rumah ini sememangnya kenangan dan aspirasi.
Ah, saya mengantuk. Maaf, saya terpaksa menyekat jutaan cerita itu daripada keluar. Selamat!