We might be a Muslim, but sometimes we are not serious about being one. Seorang guru memberitahu kepada saya dan rakan sekuliah beberapa tahun lepas. Saya membawa kata-katanya itu ke mana-mana sejak itu. Dan kebelakangan ini peringatan itu menjadi reminder yang selalu giat berbunyi, menjerkah saya yang terlupakan banyak perkara.
Rutin menimbang amalan dari semasa ke semasa memerlukan mata hati yang jernih dan sensitif kepada banyak perkara. Juga sensor hati yang tidak cemerkap untuk menilai perbuatan kerana kita manusia biasa, lazimnya sering terleka dengan banyak perkara yang remeh-temeh.
Kita leka dalam mengulang kesalahan yang sama berkali-kali. Tidak serik apalagi insaf. Bagi saya, jika serik tidak ada dalam kamus hidup, itu satu petaka yang besar dalam hidup seorang muslim. Beberapa kali dalam pelbagai situasi saya mengingatkan diri sendiri tentang hal ini.
Semalam saya di kampung atas urusan keluarga. Pulang ke rumah, saya sudah separuh lembik. 5 jam di dalam perut bas memang mimpi ngeri bagi saya. Pulang ke kampung berhujung minggu, memang bukan kebiasaan saya dari dulu. Saya lebih rela terperap dalam bilik daripada menaiki bas sekerat hari dan akhirnya tidur mati di dalam bilik di kampung.
Sebaik membuka mata pagi ini, saya duduk mengadap rak buku arwah ayah. Ada beberapa buah buku yang menarik perhatian saya lantas saya belek dan masukkan ke dalam beg. Saya sudah lama tidak membaca bacaan ilmiah. Tiada alasan sibuk, saya sedari saya memang sudah semakin malas membaca buku-buku seperti ini. Bukan satu tabiat yang baik.
Meneliti buku-buku tersebut mengingatkan saya kepada banyak perkara. Pada ayah, kata-katanya, usahanya dan komitmennya kepada ilmu dan juga kuliah. Pada agama, khususnya. Rumah ini sememangnya kenangan dan aspirasi.
Ah, saya mengantuk. Maaf, saya terpaksa menyekat jutaan cerita itu daripada keluar. Selamat!
2 comments:
Terima kasih atas ingatan ini.
Saya juga sudah lama tidak membaca buku ilmiah. Hmmm...
Kebiasaan yang ditinggalkan :)
Post a Comment