Hari ini saya teringat semula akan kisah Firaun. Mesir purba pada ketika itu tentulah satu kerajaan yang kuat dan makmur dari sudut ekonominya dan pembangunan teknologinya adalah antara yang terhebat dibuktikan melalui kemegahan senibina kuil-kuil dan juga makam-makam diraja yang masih kukuh hingga hari ini.
Saya pasti Firaun sebagai raja tentulah merasa bangga dengan segala nikmat kemajuan yang diberikan Tuhan kepadanya. Tanah yang subur, Sungai Nil sebagai rahmat yang tidak terhingga kepada negeri yang diairinya menjadikan wilayah yang didiami penduduk begitu maju dalam sektor pertanian. Satu gambaran sempurna bagi sebuah negara yang maju.
Namun, Firaun membuat kesilapan demi kesilapan yang tidak harus dilakukan oleh seseorang yang bergelar hamba Tuhan. Dia seorang raja yang zalim, menzalimi rakyatnya dengan pelbagai penindasan yang sungguh tidak berperikemanusiaan. Paling teruk dibantai ialah Bani Israil. Rakyat hidup di dalam ketakutan kerana polisi perkauman Firaun yang berat sebelah dan malangnya, tiada pemimpin dan penasihat kerajaan yang mampu mengangkat muka menasihatinya.
Dan sebagaimana biasa, dosa yang dilakukan berulang menutup hati untuk menerima cahaya hidayah. Firaun terus-terusan tersesat di dalam limpahan kemewahan yang dicurah ke atasnya. Lupa kepada Tuhan yang mengujinya dengan kemewahan, Firaun menyelam lebih dalam lagi di dalam selut dosa hingga sanggup mengaku dirinya tuhan.
Syukur rakyat perlu kepadanya. Taat dan sembah takzim manusia hanya di kakinya bukan kepada satu entiti lain yang jauh lebih berkuasa kerana kemakmuran negeri hanya akan dapat dikecapi kerana dia yang menduduki takhta. Bukan yang lain.
Firaun yang diakui kebijaksanaannya mentadbir negara membuat satu kesilapan logik yang paling tidak boleh dimaafkan: makhluk dan Tuhan adalah entiti yang sama. Takbur Firaun mengatasi segalanya sehingga menganggap hidup dan mati manusia juga di tangannya.
Dan di akhir cerita, sikap melampaui batas menerima hukuman yang sewajarnya. Firaun dan tenteranya diazab Allah dengan menenggelamkannya di laut. Keangkuhan Firuan ditundukkan oleh air laut dan Firaun menyedari kesilapannya walaupun sudah begitu terlambat. Kisah ini hanya salah satu daripada kisah yang diceritakan oleh Al-Quran sebagai teladan.
Tuan-tuan, tamadun yang dibina bukan dari asas takwa memang mengerikan. Pembangunan material yang tidak disuburkan dengan benih iman adalah bencana yang membentuk dari semasa ke semasa yang akhirnya hanya membawa petaka dahsyat kepada masyarakat yang mengagungkannya. Perlu diingat petaka tidak selalunya datang dengan cambuk pada awal kehadirannya. Ia bermula dengan segala kemanisan dunia dan dalam pelbagai bentuk pula.
Justeru, berhati-hatilah dalam menghadapi kesenangan dan jangan pula mudah melatah ketika kesusahan muncul di depan muka kita. Perlu diingat, segala yang berlaku adalah daripada Tuhan, Penyebab Utama bagi setiap perkara. Bongkak dan rasa tinggi diri selalunya mengaburi mata dan hati bagi melihat dan menerima fakta ini. Sebagaimana yang terjadi kepada Firaun. Nauzubillahi min zalik.
Ah, lama menulis, saya kelaparan. Jumpa lagi!
1 comment:
Ada di ceritakan seorang Firaun telah didatangi oleh Allah, penyakit cirit birit…sebenarnya penyakit cirit birit satu penyakit yang berbahaya…tubuh badan jadi dehydrated. Kalau kat hospital kena masuk drips….maka terlalu teruk sekali, Firaun jadi selebik lembiknya…Datang lah kawan baiknya melawatnya, iaitu iblis laknatullah…melihat keadaan itu Iblis buat joke pada Firaun, konon nak ceriakan Firaun… “itu lah kamu nak tunjuk hebat sangat…sejahat jahat aku…Aku Tak pernah mengaku diri ku Tuhan…” kata Iblis…Tiba tiba lepas mendengar kata kata iblis Firaun tersentak dan mula nak bertaubat…maka melihat keadaan itu iblis cepat cepat mengalik topik perbincangan dan dia membawa balik Firaun ke status quo dia yang lama , mengakui diri nya Tuhan..kekal dalam syirik…dosa yang tak di ampun oleh Allah….
Iblis sebenarnya, mengenali dan mengakui ada Tuhan , sebab itu dalam kes Nabi Ayub , iblis minta izin dari Tuhan dulu nak goda Nabi Ayub…
“ Sifat firaun masih wujud di kalangan manusia hari ini…banyak orang jatuh kepada syirik kafi tanpa di sedari…mengaku diri mereka tuhan. Apa tidaknya, bilamana mereka mengaku diri nya lah yang ada kuasa…mengaku afa’al Allah afa’al dia ..” kalau tidak ada aku yang menolongnya dia tu tak naik pangkat”…”aku yang buat itu dan ini”…ke akuan dalam diri masing masing, membawa jatuh pada syirik…syrik kafi…ibarat semut berjalan di atas batu hitam di malam hari yang gelap… wasallam
Post a Comment