Monday, May 5, 2008

Sarah

Berita kuterima tepat jam 3.45 petang. Suara Maureen serak di hujung talian menyampaikan hal. Begitupun, dia tenang memberitahu, berjaya menekan emosi agar kekal rasional. Aku bergegas meninggalkan pejabat sebaik memutuskan talian dalam rintik gerimis bulan April yang setia.
Sarah sudah tiada. Kau tidak akan mendengar tawanya lagi. Sarah yang manis itu sudah tiada lagi, hatiku mengulang-ngulang. Wajah Sarah menerpa. Aku memandu membelok ke haluan hospital berdekatan.
‘Aku akan pergi. Musim bunga tahun ini. Pergi ketika tulip mekar,’ ujar Sarah beberapa hari lalu, seraya membuang pandangan ke luar tingkap. Aku cuma mampu memandangnya. Jemarinya yang dulu begitu halus dan runcing, sudah menjadi begitu kurus dalam genggamanku.
‘ Jannah, terima kasih.’
‘ Terima kasih?’ aku membelai rambut emas Sarah.
‘ Ya, terima kasih. Menemukan aku dengan hidayah, dengan kebenaran dan dengan Tuhan. Baru dua bulan aku memeluk Islam, agama memberi aku ketenangan yang tidak terhingga bagi aku menghadapi semua ini,’
Aku menahan genang airmata, membuang pandangan ke arah lain. Sarah tidak harus melihat aku menangis walau apa pun yang terjadi. Aku sudah berjanji sungguh-sungguh dalam diri sejak menerima khabar dari doktor tentang penyakit Sarah setahun lepas.
‘Syukurlah, Sarah. Kau menemui-Nya. Membukakan pintu hidayah buatmu, dan menenangkan hatimu dalam rahmat-Nya.’
‘Hei, kau bawakan apa untuk harijadiku?’ tiba-tiba Sarah mencucuk pinggangku sambil muncungnya menunjukkan pada bungkusan yang kuletak di atas riba.
‘Oh, ini? Hadiah untukmu. Selamat hari jadi ke-50,’ Sarah mencebik.
‘Kau memang pandai mengira. 2007 – 1980, Fitzgerald salah memberimu gred terbaik dalam Kalkulus,’ aku ketawa. Sarah masih belum melupakan hal kami di kampus dulu. Betapa cemburunya dia apabila aku, yang katanya hampir tanpa berusaha boleh mendapatkan keputusan sebegitu baik.
‘Oh, apa ni? Skaf?’
‘Ya, untuk perempuan yang meningkat tua sepertimu,’ Sarah memandang tidak berpuas hati mendengar komenku.
‘ Menutup aurat itukan wajib. Tidak kira usia,’ Aku senyum-senyum sahaja. Sarah tanpa sabar memakai skaf berwarna pelangi itu menutupi kepalanya yang comel.
‘ Bagaimana?’
‘ Perempuan tua yang sangat comel,’ aku tidak berhenti menyakatnya.
‘Perempuan Muslimah yang sangat comel, maksudmu,’ Sarah mengenyit mata.
Sarah itulah yang sudah tiada. Penyakit misteri itu telah membawanya pergi mengadap Tuhan. Ketika pertama kali, Sarah mendengar bahawa usianya tidak akan lanjut daripada setahun sejak setahun lalu, Sarah betul-betul kehilangan arah. Hampir gila.
Bagaimana, dia yang tidak pernah dihinggap penyakit walaupun sakit kepala menjelang musim panas boleh menerima nyawanya nyata begitu pendek dalam perkiraan doktor? Paling membingungkan, penyakitnya sedemikian misteri hinggakan doktor sendiri tidak dapat memberinya keterangan lanjut tentangnya.
Aku masih ingat bagaimana aku menenangkannya di bangku, akhir musim bunga tahun lepas. Aku masih ingat tangisannya yang panjang. Namun, berita hitam itu juga merobah tasawur hidup Sarah dalam usahanya mencari ketenangan. Mencari jawapan kepada apa yang berlaku. Dan akhirnya, Islam memberinya jawapan. Memberinya kekuatan.
Katanya, Tuhan memberinya penyakit untuk memberinya rahmat. Menjadikan dia sedar pada kebenaran yang ada di hadapan mata. Musibah akhirnya, memberinya bahagia.
Tiba di hospital, kulihat Maureen, saudara tua Sarah, sudah ada di depan pintu wad bersama sanak-saudara yang lain. Aku lantas memeluknya tanpa kata. Maureen cuma mampu mengesat air matanya dan menghantar aku ke dalam kamar rawatan Sarah.
Aku mendekati dan menatap wajah Sarah yang tenang, lengkap dengan skaf yang kuhadiahi. Sungguh manis, seolah-olah dia sedang tidur dalam senyuman. Di sisinya, naskhah Al-Quran terjemahan yang menjadi teman Sarah sejak beberapa lama.
Ketika aku membukanya untuk menghadiahkan bacaan Al-Quran kujumpai nota kecil di dalamnya berbunyi, ‘Terima kasih Tuhan atas penyakit ini. Terima kasih, Jannah, saudaraku.’ -Sarah Ann Maurice Appledore -
Aku menekup muka menahan esak. Langit musim bunga bagaimanapun cerah. Rintik sudah berhenti. Awan di luar bagai membentuk wajah Sarah yang bahagia menemui Yang Satu.

No comments: