Saturday, May 3, 2008

Kelabu

Jiran saya sudah bangun. Saya ternampak kelibatnya di sebalik kereta ketika saya membuka jendela. Syukur hari ini tidak ada yang mengetuk-ngetuk dan menimbulkan fobia dan kesangsian yang bukan sedikit bagi pihak saya.
Hari masih terlalu baru, saya mencuba juga menjengah-jengah langit kalau-kalau sudah bertukar biru. Malangnya (?), menjelang pukul 8, langit masih lagi menciplak warna semalam, kelabu dan sedih.
Saya mencongak-congak untuk keluar hari ini. Menyelesaikan beberapa hal sebelum membeli-belah serba sedikit. Owh, sewa rumah belum saya bayar, yuran kelas pun belum. Tapi, above all dalam cuaca begini, kemahuan saya jadi terbantut untuk keluar.
Langit kelabu begini, mudah sahaja menjanjikan hujan tiba-tiba. Manusia yang tidak punya kenderaan beratap seperti saya, hujan adalah masalah kedua besar selepas AUKU. Apa halnya dengan rombakan AUKU? Mujurnya, saya bukan mahasiswa lagi. Gelaran tersebut sudah saya lepaskan beberapa tahun. Time flies. Saya yang berumur 23 tahun itu pun sudah tidak ada lagi.
Menjejak kaki ke ruang pekerjaan, saya memang betul-betul rindu untuk kembali ke dewan kuliah. Sementelahan ramai kawan-kawan saya yang sudah menyiapkan program lepasan ijazah mereka dalam tempoh 3 tahun ini.
Bila dibandingkan dengan pencapaian mereka, saya merasa sungguh-sungguh ketinggalan. Hidup saya berjalan dalam langkah yang pendek-pendek dan kadang-kadang serasa saya asyik berpusing di tempat yang sama. Ini menyakitkan kerana saya manusia yang percaya hidup yang tidak punya peningkatan (samada dari sudut rohani dan intelek) adalah sangat merugikan.
Setiap pagi, saya memasang angan untuk membina hidup baru, menambahbaik, memperbaiki dengan harapan saya tidak lupa tentang peningkatan yang diperlukan, supaya saya tidak alpa dengan perkara-perkara remeh yang selalu membuat saya senyum sumbing dan menggeleng kepala.
Saya terlontar ke daerah ini, apa bicara Tuhan kepada saya? Di tengah-tengah masyarakat yang begini, apa yang Tuhan mahu saya lakukan? Dan apa yang telah saya lakukan? Saya masih melayani 'have u ever seen the rain'. Sesuai sangat dengan hari yang gloomy begini. :)
KC 301, ex-residents! Pagi ini saya terkenang kalian! Apa khabar?

No comments: