Siapa yang boleh lari daripada cerita-ceriti pejabat? Saya walaupun cuba melepaskan diri sedaya-upaya, tersangkut juga dengan pelbagai kisah yang lalu di telinga. Saya bukanlah baik sangat, tetapi berbuih mulut bercerita tentang hal-hal yang tidak tentu hujung pangkal, bahkan hampir tidak berasas itu bagi saya memang berdosa dan perlu dijauhi.
Memang trademark Melayu agaknya (walaupun bukan semua), di depan bermulut manis, di belakang mulut berbau longkang.
Saya bukan pembenci bangsa sendiri, tetapi situasi yang dihadapi membuatkan saya rasa rimas dengan sikap-sikap yang tidak menguntungkan dan mula melabel bangsa saya yang 'bukan-bukan'. Tapi benarkah saya melabel mereka yang 'bukan-bukan'?
Kalau soal ampu-mengampu, bangsa saya jugaklah yang menunjukkan juara. Ampu sana, tikam sini. Kroni adalah malaikat yang maksum yang tidak punya daya langsung untuk melakukan kesalahan. Bukan kroni? Bersedialah menjadi bahan kutukan walaupun sebenarnya anda adalah pekerja yang baik.
Hal-hal berkaitan sikap seperti ini, bukan sahaja menyebabkan hubungan menjadi renggang, malah kualiti kerja juga bisa menurun. Suasana tempat kerja yang tidak menyenangkan mewujudkan tekanan yang tidak sedikit kepada sesiapa sahaja.
Tuan-tuan, produktiviti tidak boleh ditingkatkan dengan pujian melambung-lambung yang tidak kena pada tempatnya atau kritikan yang tidak membina. Kedua-duanya mematikan aliran usaha untuk penambahbaikan dan juga mencekik mati sebarang usaha untuk mencapai kecemerlangan.
Kecemerlangan dan penambahbaikan cuma boleh berlaku sekiranya pihak pengurusan dan juga staf sanggup bekerjasama secara baik dan berterusan. Kerjasama penting bagi memastikan sebarang tugas yang diamanahkan boleh dilaksanakan dengan baik kerana tugas di dalam sesuatu organisasi bukanlah bersifat usaha individu tetapi sebenarnya lebih tertumpu kepada gembelengan usaha secara kolektif.
Jika tuan-tuan tidak percaya, bacalah mana-mana buku pengurusan, pasti tuan-tuan juga akan bertemu formula yang sama.
No comments:
Post a Comment