Thursday, May 15, 2008

Bloga dan buku

Saya masih lagi meneruskan hobi saya, melayari dan melayani bloga yang saya label 'cool dan berani'. Keberanian memang mengujakan saya dari dulu lagi. Ketelusan juga. Kejujuran lebih-lebih lagi. Ya, tuan-tuan, kebenaran memang mempunyai kuasa magnet yang tinggi bagi yang mencarinya. Pernah saya membaca sebuah buku (maaf saya pelupa, tajuknya tidak saya ingat) menyentuh tentang hal ini.
Manusia menjadi fanatik kerana percaya bahawa pegangannya benar, apa yang dilakukannya benar, apa yang disuarakannya benar. Sebenarnya, dalam satu sudut manusia seperti ini sangat menyayangi kebenaran cuma malangnya, kebenaran itu bukanlah kebenaran yang sebenar. Apa ukuran kebenaran kalian? Soalan ini sila jawab dalam hati ya?
Selain bloga, saya juga senang berjalan-jalan, bersiar-siar ke kedai-kedai buku. Itu hobi saya sejak dulu lagi. Saya barangkali bukan intelektual dan sebenarnya bukan menyambut sangat seruan kerajaan yang mengiklan sejak berpuluh tahun menyeru rakyat negara ini rajin membaca. Apatah lagi, saya tidak memerlukan kempen untuk menarik saya ke perpustakaan atau ke kedai buku berhampiran. (saya memang unik, sebab itulah kucing saya menyayangi saya).
Malangnya, bekerja di bandar yang kecil seperti ini, banyak menghadkan saya melayani hobi saya yang satu ini. Kedai bukunya hanya beberapa buah, dan kalau ada pun cuma memberi pilihan buku yang tidak mengikut selera saya. Kalau tidak penuh dengan buku-buku latihan untuk pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan 6, kedai-kedai buku yang saya lawati akan memenuhi rak-raknya dengan novel-novel cinta. Selalu saya mengeluh di dalam hati bila mengadap rak-rak buku berkenaan.
Saya memang bukan peminat novel cinta. Bukan prejudis, tetapi saya memang tidak sukakan novel-novel yang hanya berkisar tentang kekasih, berkahwin dan beranak. Ataupun, konflik antara kekasih yang tidak sudah-sudah, berladung airmata, lelaki yang bermulut manis, tampan, kacak cam pierce brosnan yang datang melamar, dan akhirnya hidup bahagia.
Ah, tolonglah! bagi saya novel sebegini, hanya mencorakkan pemikiran yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Akan tetapi malangnya, novel-novel sebeginilah yang laris di pasaran, dan majoriti yang membelinya ialah remaja perempuan dan perempuan-perempuan muda dalam lingkungan 18-35 tahun. (Walaupun ini bukan statistik, saya memang berani potong jari ia benar).
Fantasi cinta seperti ini, walaupun dari satu sudut dianggap ringan, sebenarnya mempengaruhi minda pembacanya. Juga mencorakkan persepsi seseorang tentang sesuatu hal, dan dalam perkara ini tentang cinta dan ciri-ciri pasangan yang ideal. Tidak percaya, tanya saja pada remaja perempuan sekarang yang asyik melayani novel-novel seperti ini, siapakah lelaki idaman mereka? Tuan-tuan tentu bersetuju dengan saya.
Saya masih lagi tersenyum. Kali ini sambil melayani Kopratasa.

2 comments:

Abu_Zubair said...

setuju2...kedai buku dkt bndr2 yg x brp besar x ada buku yg menarik dgt...kalo ingt2 ms study di ibukota dulu...seronok pg gedung buku..mcm MPH ke..nak duduk ats lantai tu pun x pe kan...

psl novel2 2 pun stju gak...

aryshdanea said...

:)satu2nya hal yang saya suke ttg ibu kota ialah kedai bukunya yang besar2.