Sunday, October 4, 2009

Kuih raya

Wow, kuih raya di rumah ni lajak banyak! Seminggu ini, saya tidak peduli langsung ke sudut tepi kabinet tetapi hari ini saya rasa saya sudah termasuk dalam golongan membazir. Syawal sudah berlalu beberapa minggu, kuih saya masih tidak luak. Mahu dimakan seorang? Huh!

Menyesal pula membelinya. Dalam seminggu ini saya tidak mungkin boleh menghabiskannya, nampaknya perlulah saya membawa berdikit-dikit ke sekolah. Kalau nak diharapkan orang datang beraya, rumah saya memang tidak popular.

Hehehe.. maklumlah pintu selalu berkunci, tingkap selalu bertutup. Mahu diapakan, rumah saya di tepi jalan. Mahu dibuka selalu, bermakna saya terpaksa menutup kepala sepanjang waktu di rumah. Mana tahan. Kalau ada yang cuba-cuba memberi salam, barulah saya membuka pintu.

Mungkin ramai yang menyangka saya tidak ada di rumah. Maklum aja lah rumah ini serba sunyi, tv pun tak ada. Yang ada cuma saya, Belang, Putih, Ichigo dan Apon. Selain saya, keempat-empat yang lain cuma boleh mengiau, tak boleh bercakap! Apapun belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan selamat hari raya untuk semua, maaf atas segala kesilapan yang pernah saya lakukan, semoga hari mendatang menjadi hari yang lebih gembira bagi semua.

Chow dulu, assalamualaikum

Monday, September 7, 2009

1

Jika sakit saya akan cuba membayangkan sesuatu di luar dari kawasan kesakitan. Sakit ini memenatkan, perasaan dan badan. Saya baru menyedari sakit bersendirian memang menyeksakan. Seorang itu bukan perkara yang asing bagi saya.
Barangkali benar, saya sudah tidak immune. Berita buruk bagi saya. Juga bagi orang lain. Saya mahu sekali memecahkan monotoni berpanjangan seperti ini, mengandaikan saya boleh melakukan sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini.
Dunia ini sedemikian luas, kenapa saya berkisar di satu titik yang sama?

Thursday, August 20, 2009

rai

Sabtu bermula puasa. Masa untuk meraikan!

Tuesday, August 18, 2009

Satu petang, satu cerita

Hujan. Dan hujan lagi. Kucing-kucing saya lesap bersama turunnya hujan. Tempat berteduh biar berbumbung tidak mampu meneduhkan mereka. Kasihan. Saya tak nampak kelibat Biru di mana-mana. Saya yakin lukanya belum sembuh. Dalam hujan begini tentu ia lebih lapar daripada biasa, malangnya dia enggan pulang. Kenapa?




Monday, August 10, 2009

kembali

Ini cubaan untuk kembali. Salam untuk semua.

Thursday, May 7, 2009

Pagi lagi

Tamimaru sudah bangun. Biru sudah jaga. Mereka buah hati saya yang teramat manja. Setiap kali melihat keduanya bermain dan melompat, saya terfikir betapa mudahnya hidup tanpa prasangka, tanpa prejudis pada keturunan dan warna kulit. Betapa cantiknya isi dunia apabila diisi dengan ramah-tamah dan tolak ansur serta saling menolong.
Impian manusia sejak dari zaman primordial. Aman dan baik itu selalu ditentang, anehnya daripada manusia yang mengkehendaki bahagia itu sendiri.
Pagi ini saya bingkas mengurus rumah. Dengan harapan keteraturan fizikal ini akan mengatur semula celaru di dalam hati. Saya gusar dan mengkehendaki aman. Saya mengingini pengertian. Bukan daripada orang lain tetapi daripada diri sendiri.

Tuesday, May 5, 2009

Gembira

Setiap kali bila gembira itu datang, saya selalu pula menanti sudut sedihnya. Pessimistik bagi yang lain, tetapi saya tidak memandang hidup ini dengan optimisme kalut yang sering menipu dengan hal yang muluk-muluk. Saya tidak tinggal di dalam kisah dongeng, maka dalam banyak hal, sudut ajaib dalam hidup untuk gembira selalu itu selalu saya kesampingkan.
Beberapa hari ini, saya ingin melazimi apa yang telah lama saya tinggalkan. Mengetahui hal sebegini saja yang bisa membuat hidup saya stabil dan tenang daripada gangguan. Saya bilang pada seorang teman, saya mahu jadi ascetic buku. Dia barangkali, dapat menerima itu.
Jadi berkubukan buku-buku ini, saya mahu melihat jalan luas yang pernah saya lihat dulu. Mata saya terbatas, perasaan saya terkongkong dalam norma masyarakat yang tidak selalu saya mengertikan, pengalaman saya jadi dengkat oleh kesempitan ruang yang boleh saya jelajahi.
Keluar daripada kepompong norma yang serba tidak kena ini bukan juga suatu yang mudah. Barangkali kerana itu, bila seseorang benar-benar dapat membuka hati untuk melihat dan memahami sekelilingnya, dia menjadi tercerah. Enlightened.
Perjalanan kali ini, mahu saya telunsuri dengan mata hati seorang dewasa. Seorang perempuan dari balik dinding fizikal yang sempit. Saya mahu buku-buku ini menjadi mata saya yang jernih dan tajam. Saya mahu objek empat segi ini menguakkan tirai-tirai labuh yang tebal itu untuk memahami.
Saya mahu menghargai keajaiban seperti itu.